Monday, January 3, 2011

Batuk dan Selsema









PENGUBATAN KENDIRI - BATUK DAN SELSEMA

Selsema

Selsema merupakan penyakit yang paling kerap ditimbulkan kepada ahli farmasi komuniti. Simptom-simptom penyakit ini melibatkan saluran pernafasan atas (dari saluran penafasan yang dinamakan bronkus ke hidung). Penyakit ini biasanya akut dan boleh sembuh dengan sendiri dan selalunya disebabkan oleh pelbagai jenis virus. Saluran pernafasan atas merupakan tempat jangkitan utama dan biasanya berlanjutan selama 7 hari. Simptom selsema biasanya melibatkan salah satu atau kombinasi tapak-tapak jangkitan saluran pernafasan iaitu hidung, keronkong, laring dan bronkus. Walaupun selsema boleh sembuh dengan sendiri, ia mengakibatkan ketidakselesaan dan boleh mengganggu tumpuan terhadap kerja. Oleh itu, orang ramai selalunya akan mendapatkan ubat-ubatan untuk melegakan simptom selsema. Dalam kebanyakan kes, kanak-kanak lebih mudah mendapat selsema berbanding orang dewasa. Di sini, ahli farmasi memainkan peranan yang sangat penting untuk membantu para pesakit memilih dan menggunakan produk-produk rawatan selsema dan batuk.



  • Simptom-simptom
    Simptom-simptom penyakit selsema termasuklah batuk, bersin, hidung berair atau tersumbat, sakit kepala, sakit kerongkong, peningkatan suhu badan, sakit telinga, mata berair dan kesejukan (menggigil).


  • Kebanyakan pesakit akan mengalami hidung berair, biasanya cecair berwarna jernih, diikuti dengan pengeluaran mukus yang lebih pekat dan likat. Penyumbatan hidung berlaku disebabkan iritasi dan pembengkakan salur darah. Ini akan menyebabkan penyempitan saluran hidung.
  • Iritasi, penyumbatan hidung dan pengeluaran mukus akan menyebabkan pesakit bersin. Batuk mungkin berlaku akibat iritasi pada faring. Pada peringkat awal, batuk biasanya kering dan tidak berkahak. Peringkat seterusnya, kongesi bronkus yang teruk akan menyebabkan batuk yang teruk dan berkahak. Refleks batuk dan bersin adalah mekanisma pertahanan badan yang biasa berlaku untuk memastikan saluran pernafasan ke paru-paru bebas dari bendasing dan pengumpulan kahak.
  • Sakit kepala berlaku akibat radangan dan kongesi terhadap saluran hidung dan sinus.
  • Pesakit selsema juga biasanya akan mengadu panas badan. Tetapi secara amnya suhu badan tidak akan meningkat dan akan sembuh dalam masa seminggu.
  • Kerongkong menjadi kering dan sakit semasa selsema dan kemungkinan merupakan tanda awal selsema berlaku.
Simptom selsema biasanya berlanjutan selama 7 hari. Sesetengah simptom, seperti batuk, mungkin masih berlaku walaupun selsema telah sembuh.



  • Bagaimana anda diserang selsema?



  • Cuaca yang sejuk akan melemahkan pertahanan badan. Ini akan menyebabkan badan lebih mudah dijangkiti oleh bakteria atau virus.
  • Lemah badan.
  • Terdedah kepada virus selsema.
  • Pernah mendapat jangkitan atau reaksi alahan.


  • Bila anda perlu berjumpa doktor?
    Anda harus berjumpa dengan doktor jika:


  • Anda mengadu berasa panas dan menggigil kesejukan, sakit otot dan badan. Anda juga perlu berjumpa dengan doktor jika suhu badan meningkat melebihi 38.5oC yang disertai dengan batuk berkahak.
  • Sakit dada.
  • Jangkamasa simptom berlanjutan melebihi 1 minggu.
  • Batuk yang berdarah.

    Sakit pada bahagian muka atau bahagian hadapan kepala. Kemungkinan disebabkan oleh sinusitis (sakit pada keliling mata).
  • Kesakitan yang teruk pada kerongkong terutamanya pada kanak-kanak yang mungkin disebabkan oleh jangkitan bakteria ‘Streptococcus’.
  • Anda mempunyai sejarah:
  • Asma
  • Jangkitan Streptococcus
  • Bronkitis kronik
  • Demam reumatik
  • Penyakit paru-paru kronik


  • Apa yang perlu anda lakukan?
    Pengubatan kendiri bagi selsema adalah bertujuan untuk melegakan simptom-simptom selsema. Tidak terdapat sebarang rawatan dan remedi yang spesifik untuk menyembuhkan selsema. Matlamat rawatan selsema adalah untuk melegakan simptom, mengurangkan atau mengelakkan ia berjangkit dan mengelakkan komplikasi.

    Secara amnya, berehat dan mengelakkan keadaan sejuk dapat membantu melegakan rasa selsema. Anda perlu meningkatkan pengambilan air untuk mengelakkan dehidrasi (kekeringan badan) dan membantu pengeluaran kahak. Anda digalakkan menyedut wap untuk melegakan hidung tersumbat dan memudahkan pengeluaran mukus, membuang hingus dengan lebih dan jangan merokok. Berkumur dengan menggunakan ubat kumur atau air garam beberapa kali sehari boleh membantu melegakan radangan pada kerongkong. Namun, anda haruslah berhati-hati agar tidak tertelan ubat kumur yang digunakan. Anda juga digalakkan mengamalkan pemakanan yang seimbang untuk mengelakkan daripada diserang selsema. Bagaimanapun, jika simptom berlanjutan lebih daripada 10 hari atau mula berlakunya komplikasi, anda haruslah berjumpa dengan ahli farmasi atau doktor anda.
Batuk

Batuk adalah tindakan refleks pertahanan yang terjadi apabila berlaku iritasi atau penyumbatan pada saluran pernafasan. Ia bertujuan untuk melegakan saluran pernafasan agar pernafasan menjadi seperti biasa. Kebanyakan batuk yang berlaku di kalangan masyarakat disebabkan oleh radangan pada saluran pernafasan atas yang biasanya diakibatkan oleh jangkitan virus (contoh : selsema) atau peningkatan penghasilan mukus semasa selsema.



  • Jenis-jenis Batu

  • Tidak berkahak (‘Unproductive’)
    Batuk jenis ini adalah kering, dalam atau keras. Tiada kahak yang dihasilkan dan ia biasanya disebabkan oleh jangkitan virus serta boleh sembuh dengan sendiri.
  • Berkahak (‘Productive’)

    Batuk jenis ini mengeluarkan kahak. Kahak biasanya dicirikan sebagai mukus yang kehijauan, kekuningan atau keperangan. Kadangkala terdapat darah pada kahak. Ini mungkin menandakan berlakunya jangkitan pada dada seperti bronkitis atau pneumonia. Dalam keadaan ini, pesakit dinasihatkan untuk berjumpa dengan doktor.
  • Krup (‘Croup’)

    Batuk ini menghasilkan bunyi yang kuat dan kasar. Ia biasanya berlaku pada kanak-kanak dan dikaitkan dengan kesukaran bernafas.


  • Simptom-simptom



  • Rasa gatal-gatal dan sakit pada kerongkong serta selsema juga dikaitkan dengan batuk.
  • Penyingkiran udara dari paru-paru yang berlaku secara tiba-tiba disertai dengan bunyi dan kadang-kadang berkahak.
  • Radangan, mengakibatkan gangguan saluran pernafasan contohnya: asma.
  • Pengeluaran kahak yang berlebihan disebabkan jangkitan saluran pernafasan atau penyakit ( selsema, radangan bronkus, radangan laring ).


  • Bila anda perlu berjumpa doktor?
    Anda perlu berjumpa doktor:


  • Apabila batuk berlanjutan selama 2 minggu atau lebih.
  • Anda mengadu sakit dada.
  • Kahak berwarna kekuningan, kehijauan, keperangan atau mengandungi darah.
  • Kesukaran bernafas.
  • Batuk yang berulang-ulang pada waktu malam.
  • Kegagalan rawatan menggunakan ubat.

Rawatan

  • Selsema
    Terdapat 4 kelas utama ubat-ubatan yang digunakan untuk merawat simptom selsema iaitu dekongestan, ekspektoran, ‘cough suppressants’ dan antipiretik (antipyretic) atau analgesik. Dekongestan dan ekspektoran merupakan kumpulan ubat yang membantu membuka laluan hidung tersumbat. Oleh itu, pengeluaran mukus dan pengedaran udara akan membantu meningkatkan pernafasan. Ubat ‘cough suppressant’ pula digunakan untuk mengurangkan kekerapan batuk manakala antipiretik (antipyretic) atau analgesik digunakan untuk melegakan demam dan sakit kepala. Antihistamin (anti-alahan) juga boleh menolong mengurangkan sesetengah simptom selsema seperti hidung berair dan bersin.
  • Batuk

    Pemilihan rawatan batuk bergantung kepada jenis batuk. Penekan batuk adalah berkesan untuk merawat batuk tidak berkahak (kering), manakala ekspektoran pula digunakan untuk merawat batuk berkahak (basah). Gula-gula lozenges juga digunakan untuk membantu melegakan batuk kering, manakala agen mukolitik (mucolytic) membantu mencairkan mukus untuk memudahkan pengeluaran kahak.
Kesimpulan

Penggunaan meluas ubat-ubatan tanpa preskripsi dalam rawatan selsema dan batuk adalah bertujuan supaya ubat-ubat berkenaan boleh diperolehi dengan mudah. Perkara ini dibantu pula dengan pengiklanan secara meluas produk-produk tersebut kepada orang awam.

Dalam sesetengah keadaan, kombinasi dua atau lebih ubat-ubat ini diperlukan untuk menghasilkan dos yang sesuai untuk merawat pesakit yang mengalami pelbagai simptom selsema dan batuk. Walau bagaimanapun, kombinasi produk biasanya lebih mahal, terhad kepada dos yang telah ditetapkan dalam sediaan itu sahaja dan kemungkinan mempunyai kesan sampingan. Oleh itu, anda perlu mendapatkan nasihat dari ahli farmasi sebelum membeli ubat-ubatan tersebut.

Sebelum anda membuat keputusan untuk pengubatan kendiri, perlu diingat bahawa ahli farmasi adalah golongan profesional kesihatan yang harus dihubungi untuk mendapatkan khidmat nasihat. Anda tidak seharusnya hanya bergantung kepada bahan bacaan, kefahaman sendiri dan mengikuti arahan penggunaan ubat semata-mata. Pemilihan produk bukan hanya berdasarkan keberkesanan ubat tersebut tetapi juga harus mengambil kira kesan sampingan yang mungkin berlaku.

Setelah memilih produk, anda perlu mendapatkan nasihat ahli farmasi untuk memastikan anda tahu cara penggunaan, jangkamasa pengambilan, kesan terapi serta kesan sampingan yang dijangkakan. Akhir sekali, anda perlu sentiasa datang berjumpa atau menghubungi semula ahli farmasi anda sekiranya masih terdapat sebarang
kemusykilan atau masalah dalam pengubatan sendiri.





No comments:

Post a Comment